"Jangan kita mendengar dari sebelah pihak sahaja kerana itu boleh menimbulkan fitnah sesama manusia dan dosa fitnah lebih besar dari membunuh maka siasatlah terlebih dahulu pokok pangkalnya sebelum menyebarkan di serata dunia"
Saya tertarik dengan satu artikel di facebook, beliau menulis satu ayat "HARAM HEBOH DAN MEMBUKA AIB ORANG LAIN". Sebelum anda menulis sesuatu yang tidak pasti betul salahnya, fikirlah terlebih dahulu perasaan orang lain. Betulkan semula niat anda kerana orang yang anda ingin malukan itu tiada rugi sedikit pun malahan dia dapat sekelepuk pahala dari anda di akhirat kelak. Dosa membuka aib sesama manusia sangat besar kelak anda akan berjumpanya di hari perhitungan nanti.
"Islam menggalakkan kesalahan dan keburukan yang dilakukan oleh orang Islam disembunyikan dan tidak boleh diheboh-hebohkan."
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam maka Allah menutup keaibannya pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim Abu Daud dan At-Tirmizi)
"Menghormati saudara seislam dalam erti kata menjaga maruah dan air mukanya melalui teguran dan nasihat yang membina dan sopan akan dapat melahirkan suasana hidup bermasyarakat harmoni dan sejahtera".
"Tiada orang yang tidak berdosa, dan tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan.
Cuma bezanya, banyak atau sedikit, besar atau kecil, teruk atau tidak, kelihatan atau tidak kelihatan".
Orang yang bijaksana, ia memandang pada dalam dirinya setaraf dengan manusia lain yang tidak lekang dari melakukan kesilapan. Oleh itu, dia pandai menutup keaiban orang lain, menjaga harga diri sendiri dan harga diri orang lain.
"Keaiban sesama Islam apabila didedahkan, maka bukan saja hilang kehormatannya, malah sehingga orang bukan Islam tidak lagi menghormati masyarakat Islam".
Usah kita menagih penghormatan daripada orang bukan Islam jika kita sesama Islam sendiri tidak mengamal dan menghayati amalan hormat menghormati dalam erti kata sebenar yang dituntut oleh Islam.
Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Al-Hujuraat ayat 12,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. ”
"Seorang Muslim itu saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkan dia teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya maka Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Dan siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di hari akhirat kelak." - (HR Bukhari)
"Mengaibkan iaitu menceritakan keburukan seseorang samada betul atau tidak adalah berdosa."
Dalam Islam, tidak boleh menyebarkan keaiban orang lain walaupun mahkamah telah membuat keputusan sesuatu kes. Haram menceritakan dan menyiarkannya di dalam surat khabar dan dimanamana pun, walaupun disisi undang-undang dunia dibolehkan, Islam tetap mengharamkan penyebaran aib orang lain.
Seseorang yang menulis tentang aib orang lain juga akan disoal dan penulisannya akan didatangkan kembali di hari kiamat. Oleh itu sebagai orang Islam, berhati-hatilah dan elakkan dari menulis tentang keaiban orang lain. Hasil dari jualan berita yang mendedahkan keaiban itu juga boleh menjadi haram.
Di Padang Mahsyar nanti "Allah akan mengaibkan orang yang mengaibkan orang lain sehingga mereka malu dan sanggup terjun ke dalam api neraka".
Dalam satu hadis, ada disebut lebih kurang begini “kalau orang mengaibkan kamu dengan sesuatu yang tidak berasas, Allah akan mengaibkannya di Padang Mahsyar, janganlah kamu mengaibkan walaupun ianya berasas”.
Akhir kata, peringatan untuk diri sendiri dan semua pembaca tegar. Sekadar perkongsian sesama islam kadang kita sebagai muslim terleka dengan perkara yang dianggap remeh ini walau sebenarnya ia cukup besar impaknya di akhirat nanti. Artikel ini tiada kena-mengena antara yang hidup atau sudah meninggal dunia. YAng baik datangnya dari Allah, yang kurang dari diri sendiri. Semoga bermanfaat untuk kita semua, aamiin :)
Assalamualaikum wbt .
No comments:
Post a Comment